Isnin, 23 Ogos 2010

ROH AL QUDS

siri ke 4


ABU ABDALLAH MUHAMMAD AL-SHARAFI DARI AL-JARAFE

Syeikh ini sentiasa mendirikan solat lima waktu di masjid ‘Udais di Seville. Beliau mencari nafkah dengan menjual opium (bagi tujuan perubatan) yang beliau kumpul pada musimnya dan dijual kepada mereka yang jujur yang wangnya adalah bersih.


Kebiasaannya beliau akan berdiri dengan lama ketika solat sehingga kaki beliau bengkak, dan apabila beliau solat airmata akan mengalir membasahi wajahnya turun ke janggut ibarat mutiara. Beliau tinggal di rumah yang sama selama empat puluh tahun tanpa cahaya atau api, mengabdikan diri dengan beribadah.


Suatu hari beliau datang kepadaku semasa aku sedang asyik memerhatikan orang gila. Aku tidak menyedari kehadiran beliau sehinggalah beliau menjepit telingaku, sambil menarik daku jauh dari orang ramai dan berkata , ‘Ini halnya yang kamu ceburi? Perkataan tersebut menyebabkan aku berasa sangat malu dan pergi bersamanya ke masjid.


Syeikh selalu mengkhabarkan kepadaku sesuatu perkara sebelum kejadiannya dan perkata tersebut terjadi sepertimana yang beliau nyatakan. Beliau tidak pernah bersolat dua kali di tempat yang sama di masjid. Memandangkan tiada seorang pun yang berani secara terbuka meminta beliau mendoakan mereka, oleh itu barangsiapa yang berhajat kepada doa beliau akan memerhati di manakah beliau bersolat di masjid dan akan bersolat bersebelahan dengan beliau. Apabila Syeikh duduk untuk berdoa, mereka yang berhajat bantuan beliau akan berdoa dengan kuat supaya didengari oleh Syeikh, yang mana Syeikh akan mengaminkannya, begitulah mustajabnya doa beliau. Pernah sekali aku minta beliau doakan daku yang mana beliau tunaikan, memulakan doa untukku dengan ‘Alhamdulillah’. Beliau selalu lebih dahulu memberi salam kepadaku sebelum aku sempat memberi salam kepadanya, aku memperolehi faedah rohaniah yang banyak daripada beliau.


Suatu hari beliau melihat seorang budak lelaki mejunjung sebakul jintan hitam di kepalanya dan budak tersebut nampak sangat kemurungan. Syeikh amat bersimpati kepada budak tadi yang meminta Syeikh mendoakannya. Ketika yang sama ada ramai orang mengelilingi mereka. Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia murung, budak itu menjawab yang ayahnya telah meninggal dunia dan mempunyai beberapa orang anak kecil yang ditinggalkan tanpa nafkah; ibunya meminta supaya dia membawa jintan hitam yang ada, dan jika mencukupi, menjualnya untuk mendapatkan bekalan makanan bagi hari itu. Mendengar hal ini Syeikh menangis dan meletakkan tangannya kedalam bakul, beliau mengeluarkan beberapa butir dan berkata kepada budak tadi, ‘Ini barang yang baik, wahai anak ku; pulanglah dan beritahu ibumu bahawa pakcikmu daripada al-Jarafe mengambil sedikit daripadanya, dengan itu meletakkan dirinya berhutang denganmu.


Lantas salah seorang daripada peniaga mengambil bakul tadi sambil berkata, ‘Syeikh telah mengambil sedikit daripadanya, jadi ini semua telah diberkati’. Peniaga tadi membayar ibu budak tersebut tujuh puluh dinar Mu’min. Apa yang dilakukan Syaikh merupakan satu tindakan belas kasihan.


Syeikh selalu tiada di Seville ketika musim haji. Beliau dilihat di Mekah oleh sekumpulan jemaah haji dari Seville. Suatu hari aku bersama beliau menunggu solat zohor di masjid ‘Udais, kemudian beliau menyedari ada ramai orang berkumpul. Beliau bertanya kepada ku apa yang sedang berlaku. Aku memberitahu beliau Qadi mengumpulkan orang ramai untuk mengumpul pendapat bersetuju atas perlantikan seorang Muhtasib yang baru, mereka bersetuju ianya adalah al-Irnaq. Apabila mendengarkan hal tersebut beliau tersenyum dan berkata. Selesai aku solat zohor mereka semua akan mendapati seseorang yang tidak mereka pilih yang akan dilantik. Aku bertanya siapakah orang tersebut dan Syaikh menjawab aku akan mengetahuinya selepas solat. Kemudian aku bersolat zohor bersama beliau dan sebaik sahaja kami selesai solat Qadi mengumumkan bahawa dia telah memutuskan untuk melantik al-Talabi menjawat jawatan Muhtasib. Syeikh berkata kepadaku, ‘kamu lihat bagaimana dia berhadapan dengan mereka sebagaimana seorang suami yang bijaksana berhadapan dengan isterinya. Dia berbincang dengan isterinya tetapi tidak bertindak mengikut pandangan isterinya’.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan