Isnin, 12 Disember 2011

Pulau Dunia atau Pulau Akhirat

Hari ini manusia lebih mengutamakan Pulau Dunia berbanding Pulau Akhirat. Walaupun Ia kelihatan kecil tetapi memberi kesan yang yang begitu besar dalam kehidupan masyarakat. Prinsip ini menyebabkan kehidupan kita jauh tersasar dari landasan yang benar. Di antara kesilapan masyarakat pada masa kini ialah:

1. Prinsip hidup tidak berpandu pada Al-Quran. Mereka hanya menggunakan mata, akal dan pendengaran semata-mata dalam panduan hidup. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat melihat pada hakikat kepada kehidupan. Justeru Nabi saw didatangkan oleh ALLAH swt untuk membawa cahaya kebenaran kepada kita. ALLAH juga mendatang kalam atau ayat-ayat ALLAH melalui lidah Nabi saw. Quran adalah ayat-ayat ALLAH yang telah dibukukan. Apabila kita melihat daripada kaca mata Al Quran, contohnya ‘Mata’ hanya dapat melihat mayat yang terbujur, manakala perjalanannya seterusnya ke alam barzakh dan alam akhirat diterangkan oleh Al-Quran. Mata tidak mampu melihat hakikat. Al Quran itu diumpamakan sebagai bahtera Nabi Nuh, kalau kita tidak masuk ke dalamnya nescaya kita akan tenggelam dalam banjir yang besar iaitu ‘banjir maksiat’. Al Quran ialah hadiah Nabi saw kepada umatnya sebagai tanda cinta baginda saw kepada kita semua.

2. Kesalahan mengambil ilmu dari pintu/sistem yang salah. Jika ada manusia yang sedar bahawa Al Quran sebagai sumber rujukan, mereka pula melakukan kesilapan mengambilnya dari pintu yang salah. Pintu yang benar adalah daripada ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), yang telah diputuskan oleh ulama pada kurun ke 3;

a) Aqidah – Asya’irah dan Al-Maturidiah
b) Fiqh – 4 Mazhab (Shafei, Maliki, Hanafi dan Hambali)
c) Tasawwuf (Rahsia Hati) – Imam Ghazali, Syeikh Junaid Al-Baghdadi dan Imam Abu Hassan Asy-Syazili.

Pengajian pertama yang perlu diberi keutamaan adalah ilmu Aqidah, kemudiannya ilmu Fiqh dan seterusnya ilmu Tasawuf dan kemudiaan ilmu-ilmu yang lain-lain lagi.

3. Kesilapan Dalam Pendidikan Pembersihan Jiwa. Bagi mereka yang telah faham pintunya, melakukan kesilapan pula dalam pendidikan murabbi dengan mengutamakan karamah dan kasyaf. Islam bukan bermain dengan hal-hal ghaib, tetapi memberi penekanan dalam memperbaiki Akhlak. Jika ingin melihat murabbi yang benar, maka lihatlah akhlak murid-muridnya yang lama iaitu yang sudah lama bersama dengannya, umpama untuk menilai kehebatan seorang doktor pakar lihatlah berapa ramai pesakit-pesakitnya yang sembuh. Jalan dakwah Tok Ku Pulau Manis adalah jalan yang menggabungkan jalan Imam Ghazali dan Ibn Arabi.

4. Kesilapan Dalam Memahami Adab Berkhilaf. Apabila telah berpegang kepada satu jalan mereka tidak menghormati jalan yang lain, malah mereka mudah mengkritik jalan-jalan yang lain. Ini akan menyebabkan perpecahan terus berlaku dalam jemaah dan masyarakat.

5. Kesilapan Apabila Tidak Memikirkan Tentang Kepentingan Memelihara Islam. Umpamanya perusahaan yang telah dibina sehingga berjaya oleh seorang bapa. Bagi anak yang bertangungjawab hendaklah memelihara dan mengembangkannya. Begitulah agama yang telah dibangunkan oleh Rasullullah saw. Tugas kita ialah menjaga dan mengembangkannya melalui dakwah. Permulaanya hendaklah dimulakan dengan institusi keluarga masing-masing.

Cetusan Walid Al Malik

Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan