Jumaat, 31 Disember 2010

KURSUS TERKINI 2011- Kanser & Pengubatan Herba Serta AKar Kayu

Assalammualaikum WMT dan salam ukhuwah.

ALLAHumma Solli Ala Sayyidina Muhammad. Selawat dan salam yang tiada tamatnya sepertimana tiada putus kasih sayang Baginda S.A.W kepada umat-umat Baginda S.A.W.

Para pembaca yang dirahmati ALLAH,

AlhamduLILLAH kita masih di dalam bulan Muharram dalam kita meraikan tahun baru Islam. Pelbagai ganjaran yang disediakan ALLAH SWT dalam kita meningkatkan amal ibadah walaupun matlamat dan tujuan kita hanyalah semata-mata kita dapat hidup dalam keredhaan dan kerahmatan dariNYA..Sebagai pembukaan kursus-kursus di dalam tahun 2011 kursus pertama pada Januari ini telah dirancang dan akan dilaksanakan mengikut maklumat di bawah yang diharapkan dapat kita semua memanfaatkan ilmu yang terus dibawakan oleh Al Fadhil Ustaz Wan Asrul insyaALLAH. Dari kejayaan pelaksanaan kursus-kursus pada tahun 2010 di bahagian Utara, InsyaALLAH TIAF Utara akan terus memenuhi permintaan dari peserta dan perawat bagi perkongsian ilmu agar menjadi medan ukhuwah dan kesepakatan murninya ilmu yang dikongsikan. Sebarang kelemahan dan kekurangan diharapkan semua sahabat, perawat, peserta, pengunjung blog dan sesiapa jua dapat memberi cadangan atau pendapat agar kebaikan dapat dikongsikan bersama insyaALLAH. Adalah lebih elok dan manis emelkan kepada qolbusolehin@gmail.com

Tajuk :
KURSUS RAWATAN KANSER & PENGUBATAN HERBA SERTA AKAR KAYU


Tarikh :
29 & 30 JANUARI 2011 ( Sabtu & Ahad )


Masa :
8.30PG - 5.30PTG


Tempat :
KOLEJ MULTIMEDIA UTARA@TM TAIPING,
JALAN LUMBA KUDA, 34672 TAIPING PERAK


Penyampai :
TERAPI ISLAM AL FATAH -TIAF ( Ust Wan Asrul )


Yuran :
RM250.00 ( Termasuk Nota, Sijil dan Jamuan )


Peserta :
TERBUKA KEPADA YANG MUSLIMIN & MUSLIMAT BERMINAT.

PENDAFTARAN PESERTA:
SILA SMS KE 012-7625455 / EMEL qolbusolehin@gmail.com NAMA, NO K/P, NO H/P dan EMEL
secepat mungkin untuk dimaklumkan permohonan menyertai dan cara pembayaran

( Lokasi kursus ini pernah dijalankan Kursus Pengukuhan pada tahun 2010 .Pengisian kursus akan dikemaskini dalam waktu terdekat )

Berkaitan dengan penyediaan penginapan, di lokasi kursus ( Kolej Mutimedia Utara ) terdapat bilik dometri disediakan, sebilik berdua yang dikenakan rm30.00 seorang semalam. Bagi yang berminat hubungi terus urusetia untuk tempahan bilik sebelum 21 Januari 2011. Selain itu terdapat juga Jana View Condotel dengan harga istimewa RM130.00 untuk ditempah.

Tarikh tutup untuk pendaftaran kursus adalah pada 25 Januari 2011 ( Selasa ) bagi kemudahan penyelarasan. Kerjasama dari peserta yang berminat amat-amat diharapkan bagi kebaikan bersama.

Mohon disertakan nama penuh dan no.K/P untuk tujuan cetakan sijil.

Sekian seadanya untuk makluman semua.

Wassalam.

Selasa, 21 Disember 2010

ROH AL QUDS

Siri ke 8

ABU AL-ABBAS AHMAD B HAMMAM

Seorang lelaki dari Serville yang ALLAH ilhamkan untuk mujahadah jiwa. Beliau mula mengabdikan dirinya beribadah kepada ALLAH sebelum beliau mencapai usia baligh. Beliau seorang yang sangat jujur yang menangisi jiwanya seperti seorang ibu yang kehilangan anak. Ayahnya menentang keputusan beliau untuk mengikuti tariq ALLAH, dan apabila keadaan menjadi semakin sukar beliau berkata kepada ku; “Wahai saudaraku, perkara ini telah menjadi semakin rumit buat ku; ayahku telah mebuang ku dan membiarkan aku sendirian. Aku sangat berkeinginan untuk pergi ke sempadan wilayah Islam untuk berjihad menentang musuh dan berkhidmat sebagai tentera hinggalah aku mati”.

Untuk itu beliau berangkat ke Jerumenha (di Portugal) dan masih di sana sehingga kini. Selepas beberapa lam a beliau kembali ke Serville untuk mengambil beberapa tinggalan pusaka, tetapi kemudiannya kembali semula bertugas. Beliau selalu menziarahi rumah Abu Abdallah al-Khayyat (siri 7 ) yang dinyatakan sebelum ini, semoga Allah merahmati mereka dan kita semua.

Jumaat, 3 Disember 2010

Salam MAAL HIJRAH 1432H

Assalamualaikum WMT dan salam hormat.

Salam sejahtera untuk semua sahabat dan pengunjung blog. Bersempena kedatangan Tahun Baru bagi umat Islam seluruhnya yang dinantikan pada 01 Muharram 1432H/ 07 Disember 2010 saya mengucapkan salam kesejahteraan yg penuh kebaikan pada tahun baru ini. Moga-moga ALLAH akan merahmati kita semua dalam ikatan persaudaraan yg penuh dengan kasih sayang serta limpahan nikmat yg berlipat kali ganda dunia dan akhirat InsyaALLAH.
" TIAP-TIAP TAHUN ANDA SEMUA DALAM KEBAIKAN "

Khamis, 2 Disember 2010

Rehlah Sahabat TIAF


dari blog TIAF

Assalammualaikum WMT dan salam hormat,

AlhamduLILLAH, seindah kalam pada ALLAH SWT Penguasa sekalian alam atas penciptaanNYA dan penganugerahan nikmat-nikmat yang besar dan halus. Segala kebesaran bagi ALLAH, Tuhan yang memuliakan sekalian anak Adam serta memilih mereka menjadi Ulama-Ulama, para Zahid, para Hakim dan sekalian yang telah dimuliakan, yang dengannya maka terzahir segala yang tersurat dan tersembunyi segala yang tersirat dalam taklukan kudrat dan iradatNYA. ALLAHu Robbi.

Semulia selawat dan salam ke hadrat Rasulullah S.A.W dan keluarga Baginda juga para sahabat dan tabien. Yang atas kemulian Nur baginda S.A.W, maka hidupnya hati dengan ilmu, cerahnya basyirah dengan kebenaran. ALLAHumma Solli Wassalim Ala Saidina Muhammad Wa Ala Alihi Wa Sohbihi Ajma’in.

Para pembaca yang dihormati sekalian,

Dalam kesempatan ini terlebih dahulu saya memohon maaf pada sekalian yang menghantar e-mail atau sms pada saya yang tidak sempat dibalas.

Bukanlah kerana tidak melayan atau tidak langsung mengambil endah akannya. Disebabkan jadual yang agak ketat dan urusan-urusan lain di luar menjadikan ruang untuk saya menjawab email dan sms Tn/Pn agak terhad.

Itulah sebabnya saya sering mengingatkan, andai punyai sebarang kemusykilan atau pendapat, dimohon hubungi saya secara terus pada talian 019-6727627, insyaALLAH, saya akan cuba menjawab persoalan Tn/Pn seadanya, sebagaimana yang diizinkan ALLAH.

Para pembaca yang dikasihi ALLAH sekalian,

Suka untuk saya maklumkan bahawa pihak TIAF akan mengadakan Perkumpulan Sahabat TIAF atau lebih mudah digelar Rehlah Sahabat TIAF sebagai satu wadah untuk mengeratkan ukhwah sesama kita dan perbincangan bagi permasalahan serta objektif perubatan Islam mutaakhir di samping aktiviti rehlah menikmati keindahan ciptaan ALLAH di Pulau Besar, Melaka. Juga sebagai taaruf rapat sesama kita sebelum saya berangkat meninggalkan tanah Malaysia.

Berikut adalah maklumat lanjut Rehlah Sahabat TIAF :

Tarikh : 31 Disember 2010 – 2 Januari 2011

Hari : Jumaat, Sabtu & Ahad (3h2M)

Tempat : D’PUTERI KURNIA RESORT, PULAU BESAR, MELAKA

Yuran: RM270, termasuk:
- Penginapan
- Jamuan makan ( sarapan, makan tengahhari & makan malam)
- Jungle Tracking
- Jamuan BBQ ( Ayam, daging, kambing dan sosej)
- Tambang Feri pergi dan balik

Peserta: Terbuka kepada semua Sahabat TIAF.

Pengisian Rehlah antaranya adalah seperti berikut:

Hari Pertama-

- Selepas Maghrib : Tazkirah Qolbu
- Selepas Isyak: Halaqah Zikir dan sesi muzakarah

Hari Kedua-

- Tazkirah Subuh
- Jungle Tracking sekitar Pulau Besar, mengenali sejarah Pulau Besar, tempat-tempat bersejarah dan pengenalan akar kayu serta herba alamiah.
- Tazkirah Maghrib
- Halaqah Zikir
- BBQ
- Muzakarah
- Rehlah Pengisian Qolbu

Hari Ketiga-

- Qiamulail
- Tazkirah Subuh
- Postmortem Pengisian Qolbu
- Penundaaan Majlis

Di atas adalah antara pengisian-pengisian yang akan dimanfaatkan pada program Rehlah yang julung-julung kali diadakan bagi sahabat TIAF.

Siapakah Sahabat TIAF? Sahabat TIAF tidak semestinya kepada bekas-bekas peserta kursus TIAF, tetapi terbuka kepada sesiapa saja yang sudi menjadi sahabat TIAF.

Berbeza dengan Ahli TIAF yang telah berdaftar yang lebih kurang 20 orang, di mana mereka ini sedang mengikuti Kuliah Intensif, yang bakal menamatkan pengajian mereka tahun hadapan.

Kepada Sahabat-sahabat TIAF sekalian yang berminat mengikuti dan mempunyai cadangan bagi aktiviti untuk rehlah ini amat dialu-alukan.

Adapun bagi sekalian yang berminat, diharap menghantar REHLAH SAHABAT TIAF -jarak- Nama Penuh -jarak- No Kad Pengenalan pada 019-6727627.

Amat diharap dapat mengesahkan kehadiran dan pembayaran yuran selewat-lewatnya sebelum 20hb Disember 2010 berikutan penempahan tempat penginapan dan lain-lain logistik.

Semoga diberi kemudahan dan barokah dari ALLAH atas segala usaha sesama kita dalam perjalanan menuju ke rahmat dan redhaNYA dunia akhirat.

Wassalam.

Rabu, 1 Disember 2010

ROH AL QUDS

Siri ke 7

ABU ABDULLAH MUHAMMAD Al-KHAYYAT TUKANG JAHIT DAN ABU AL-ABBAS AHMAD AL-JARRAR PEMBUAT TEMBIKAR.

Mereka dua bersaudara dari Serville yang menjadi sahabat ku di situ sehingga tahun 590 Hijrah, tahunnya di mana mereka pergi menunaikan haji di Mekah. Inilah juga tahunnya di mana aku menziarahi kamu (Abu Muhammad al-Mahdawi di Tunis – kitab ini ditulis atas permintaan beliau). Setelah mereka sampai di Mekah, Ahmad menetap di sana selama setahun, kemudiannya ke Egypt dan menyertai kumpulan sufi Malamatiyyah ( kumpulan yang berdasar kan al-Quran 5:54 “Mereka berjuang di jalan Allah dan tidak takut cerca orang yang mencerca”). Muhammad sebaliknya, menetap di Mekah selama lima tahun dan kemudiannya menyertai abangnya di Egypt dalam tahun yang sama di mana aku berpisah denganmu, iaitu pada tahun 598 Hijrah. Aku menemui mereka apabila aku tiba di Egypt dan tinggal bersama-sama mereka, yang mana ketika itu Abu Abdallah sedang sakit. Ketika di sana aku berpuasa Ramadhan bersama mereka.

Abu Abdallah memasuki tariq Allah lama sebelum adiknya. Beliau anak yang taat dan berkhidmat untuk ibunya sehingga ke saat ibunya kembali ke rahmatullah. Betapa beliau dikuasai oleh keadaan Jalal Allah sehinggakan degup jantungnya ketika solat dapat didengari dari jauh. Beliau banyak menangis dan mengekalkan diam yang panjang; selalu bersedih dan hiba dan merintih pilu. Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu merendah diri, selalu menundukkan kepala dan matanya terpaku ke bumi. Beliau tidak bercampur dengan orang. Beliau seorang yang bebas dari munafik, kuat bermuhasabah, teguh iman, tidak melakukan kesalahan dan sabar sekalipun di timpa kemiskinan dan ujian. Beliau juga seorang yang memiliki kekuatan rohaniah dan himmah dan ketika usia muda ku dan mempelajari al-Quran dangan beliau aku begitu mengasihi beliau, beliau salah seorang jiranku. Bilamana beliau memasuki masjid semua yang melihatnya menunjukkan rasa hormat. Dia selalunya bukanlah yang pertama memulakan percakapan dan hanya menjawab apabila benar-benar perlu. Beliau berpegang teguh kepada keimanan dan apabila aku memasuki tariq aku sangat berhajat untuk menyerupai beliau dan adiknya. Aku hampirkan diri ku padanya dan mendapat banyak manfaat daripada panduan dan tauladan daripada beliau. Beliau menahan segala dugaan sementara itu mengelak daripada menyusahkan orang lain. Bukaan beliau adalah benar dan beliau sangat gembira “berbicara” dengan rabb. Malamnya dihabiskan dengan solat dan siang hari dengan berpuasa. Beliau tidak pernah berdiam diri dan sentiasa meletakkan dirinya dalam keadaan meningkatkan ilmu.

Kami berempat, Syeikh dan adiknya, seorang sahabat dan diriku, selalu berkumpul bersama, semuanya berkongsi dalam pandangan kerohanian yang dikurniakan kepada kami ketika berkumpul bersama. Aku tidak mengetahui hari yang lebih baik dari hari-hari tersebut.

Kini diikuti dengan suatu peristiwa yang membuktikan himmah beliau. Rumah kami agak berjarak dari rumah beliau dan kejadian tersebut berlaku pada suatu malam, ketika lepas waktu isyak , Aku merasai keperluan yang mendesak samada untuk berada bersama beliau atau pulang ke rumah, tidak tahu mana yang hendak dibuat. Akhirnya aku memilih yang pertama, aku bergerak ke rumah beliau dan mendapati Syeikh berdiri di tengah rumah menghadap ke Mekah. Adiknya sedang melakukan solat sunat. Apabila aku memberikan salam beliau menjawabnya sambil tersenyum dan berkata, “Apa yang melengahkan mu? Hati ku menumpukan pada mu kerana kamu mempunyai sesuatu yang kami perlukan. Sesungguhnya, aku memilki lima dirham dalam saku ku yang aku berikan kepada beliau. Syeikh menjelaskan seorang bernama ‘Ali al-Salawi datang berziarah dan dia tiada apa untuk diberikan kepada nya. Kemudian aku pulang ke rumah.

Aku memiliki sebuah jag kosong di rumah dan suatu hari aku ingin menyediakan bubur manis untuk ahli halaqah, tetapi tidak mempunyai madu dan mentega untuk dicampurkan ke dalamnya. Aku pun membawa jag kosong tersebut dan periuk bubur kepada beliau. Beliau mengambil jag dan memegangnya dengan kedua belah tangan lalu berkata, “Bismillah, makanlah!” Kemudian beliau terus menuangkan mentega bercampur madu daripada jag tersebut ke atas bubur.

Suatu hari ketika kami berada di rumah salah seorang ahli halaqah yang menghidangkan kami tempek tepung dan madu untuk kami makan. Apabila madu telah habis dimakan, tuan rumah berharap agar kami dapat menunggu sebentar untuk dibawakan lagi madu. Bagaimanapun Syeikh menyuruh kami supaya terus mencicah dan kami akan dapati apa yang kami mahukan. Kami pun melakukannya dan apabila dimasukkan ke mulut ianya menitis dengan madu.

Beliau selalu berurusan terus dengan keperluan faqir miskin, membekalkan mereka dengan makanan dan pakaian. Beliau sesungguhnya seorang yang baik hati dan bersimpati, mengasihi yang muda dan menghormati yang tua. Kepada setiap orang dia berikan haqnya dan banyak yang berhutang nya, satu-satunya hutang beliau ialah kepada Allah. Dalam keadaan sebeginilah aku selalu melihat beliau, semoga Allah memasukkan kami berdua dalam pengampunan Nya.

Akan hal adiknya pula Abu al-Abbas Ahmad, lelaki apa kah ini! Seorang yang puas dengan sifat murni, dan mengelakkan segala maksiat, seorang yang mengenal Allah dan mengabdikan diri pada Nya, sangat terpercaya. Beliau merupakan orang yang memperolehi keadaan “perbualan Ilahiyyah” disebalik hijab (Quran 42:51 “Dan tiadalah bagi manusia, bahawa Allah bercakap-cakap dengannya, kecuali dengan wahyu atau di sebalik hijab….”), Kuat syuhud, disukai oleh teman, membantu dalam semua perkara dan baik hati, bersetuju dengan setiap yang disukai Allah, tetapi kuat menentang apa yang tidak disukaiNya. Beliau sentiasa berzikir menyebut nama Allah dan beliau dimuliakan olehNya dan nama beliau meniti di bibir setiap orang. Beliau serahkan dirinya kepada hukum sirr dan seorang yang dikurniakan banyak syuhud.

Bilamana kami membicarakan satu-satu permasalahan beliau akan berada dalam keadaan batinnya terpisah dari kami, yang akhirnya beliau akan jelaskan beberapa aspek permasalahan tersebut kepada kami. Beliau masih lagi sebegitu hingga kini.

Beliau hanya berkhidmat kepada abangnya yang melalui kurniaan rohaninya beliau memperolehi banyak manfaat.

Beliau bertemu dengan Syeikh al-Uryani dan Abu Muhammad b. Junaid serta ramai lagi sahabat kami. Beliau sangat ingin untuk menemani kami ke Mekah jika tidaklah kerana keuzuran abangnya; sesungguhnya, sekiranya beliau dalam keadaan sihat kami semua sudah pasti akan bersama-sama musafir ke Mekah.

Ketika itu wabak menyerang rakyat Egypt. Suatu hari sedang Syeikh berjalan di sebatang jalan beliau melihat bayi mati akibat kelaparan. Hiba dengan keadaan itu beliau berkata, “Ya rabb, apa maksud semua ini?” Kemudian beliau hilang dalam syuhud, yang mana kedengaran suarau berkata kepadanya, “Wahai hamba Ku, adakah aku mengakibatkan kamu kehilangan sesuatu?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya, tidak”. Suara tersebut menyambung kata, “Jangan masuk campur, kerana bayi yang kamu lihat di hadapan mu adalah zuriat yang berdosa. Ini adalah kaum yang meringankan perintah Ku, oleh itu Aku jatuhkan hukum Ku ke atas mereka. Demikianlah Aku lakukan terhadap mereka yang meringankan perintah Ku. Jangan pedulikan mereka”. Apabila beliau kembali sedar beliau dapati yang dirinya tidak lagi merasa tertekan dengan apa yang beliau lihat. Syeikh ini dianugerahi dengan banyak perbualan.

Merujuk kepada kelebihan sahabat yang lain atas mereka, aku dapati tiada yang lain yang lebih baik dari mereka merujuk kepada keadaan ini, semoga Allah memasukkan aku bersama mereka dalam pengampunanNya dan tidak memisahkan kami.

Selasa, 23 November 2010

KEMASKINI Kursus SAKA & PENGASIH di Penang



Assalamualaikum WMT dan salam hormat.

Makluman buat semua peserta kursus pada 27 & 28 Nov 2010 serba ringkas dipaparkan laluan ke lokasi kursus bagi kemudahan semua.

Melalui Lebuhraya Butterworth Kulim ( BKE )

Susur keluar dari lebuhraya BKE ke persimpangan 1503 Kubang Semang, kemudian ikut anak panah merah sama ada melalui jambatan kecil A atau simpang B , masuk ke bawah jalan lebuhraya melalui laluan C untuk ke An Nahdhoh Inn-Yayasan An Nahdhoh.

Tambahan maklumat juga pada 27 Nov 2010 merupakan Hari Pengajian Kitab di Masjid An Nahdhoh yang akan menyebabkan kesesakan lalulintas dan kesukaran tempat meletak kenderaan, maka adalah dinasihatkan peserta ,supaya datang awal dan mendaftarkan diri di An Nahdhoh Inn 50 meter dari masjid yang terletak bersebelahan.

Sebarang kemusykilan dan pertanyaan hubungi terus 012-7625455.

Wallahua'lam

Selasa, 16 November 2010

Salam 'Idul Adha

Assalamualaikum WMT dan salam bahagia.

Qolbu Solehin mengucapkan Selamat Menyambut 'Idul Adha kepada semua umat Islam, muslimin muslimat dan pengunjung blog di mana jua berada. Semoga kita semua mendapat keberkatan di hari yang mulia di samping melaksanakan ibadah korban bagi yang berkemampuan sebagaimana sebahagian umat Islam yang sedang melaksanakan ibadah haji.

Dijemput kepada sahabat-sahabat yang berdekatan dan berkeupayaan untuk meraikan ibadah korban yang akan dijalankan pada Hari Raya Pertama dan Kedua di Surau Insaniah Kg Setia Jaya, Kamunting Perak.

Moga-moga ALLAH memberkati amal ibadah kita bagi mencapai maksud dan tujuan kepadaNYA insyaALLAH.

Wallahua'lam

Sabtu, 13 November 2010

Renungan MERAPI Untuk Kita

Assalamualaikum WMT dan salam ukhuwah untuk semua sahabat dan pembaca blog.

AlhamduLILLAH, pujian ke hadrat Pencipta segala yang tercipta, DIA ALLAH, Maha Penggerak segala yang ada dan tiada. ALLAHU Akbar.

ALLAHumma Solli 'Ala Saidina Muhammad. Semulia salam dan selawat ke sisi junjungan besar, yang dengan berkat syafaat dari Baginda S.A.W, masih basah lidah dengan basahan dengan ingatan pada ALLAH dan rindu pada Baginda S.A.W.

Kesempatan kali ini untuk mengajak kita semua merenung erti kasih sayang sesama makhluk terhadap peristiwa letupan gunung berapi Merapi di Indonesia.

Letusan Merapi yang beberapa kali berulang tidak memisahkan rasa kasih sayang manusia terhadap makhluk yang bernama jenisnya haiwan iaitu lembu@sapi. Sehingga sanggup untuk berkorban nyawa demi kehidupan haiwan yang dipelihara. begitu hebat rasanya kasih sayang penduduk Merapi terhadap makhluk ini. Lalu kita merenung bagaimana kasih sayang kita kepada ALLAH dan Baginda S.A.W.. adakah pengorbanan kita, perjuangan kita, mujahadah kita kita sudah lengkap dan cukup demi mendapatkan kecintaan dari ALLAH dan Rasulullah S.A.W.

Mari kita renungkan KAITAN peristiwa letusan gunung berapi Merapi , kasih sayang penduduk Merapi kepada haiwan ternakan lembu@sapi, peristiwa pengorbanan Nabi Ismail as terhadap bapanya Nabi Ibrahim as kerana ALLAH. Mungkin kita dapat dekatkan lagi jiwa-jiwa kita kepada usaha mujahadah di atas ikhtiar dan kerja buat kita agar mendapat tempat di sisiNYA insyaALLAH.

Berita Malaysiakini dari Bernama

Penduduk Merapi berkorban kerana lembu peliharaan mereka, ramai penduduk di lereng Merapi menjadi korban letusan gunung berapi itu kali ini.

"Mengapa banyak orang meninggal, kerana mereka cinta kepada sapinya," kata Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Syamsul Maarif.

Hubungan itu sangat istimewa sehingga penduduk di situ enggan menjual lembu-lembu itu walaupun kerajaan menawar untuk membeli semua haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan mereka sering pulang rumah semasa Merapi masih aktif meletus sekarang.

Ada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana tidak mahu berpisah dengan lembu mereka, dan bagi yang berpindah pula, mereka akan kembali setiap hari ke rumah masing-masing untuk memberi makan lembu dan memerah susunya untuk jualan dan pendapatan mereka.

"Ada seorang perempuan warga mas di pusat pemindahan yang merintih kepada pasukan penyelamat untuk membawanya pulang ke rumah setiap hari semata-mata untuk bertemu dengan lembu-lembunya, dan selepas mengusap dengan penuh kasih sayang haiwan itu dengan tangannya selama beberapa ketika, beliau baru boleh dibawa turun semula ke pusat pemindahan," katanya.

Sehingga kini, bilangan kematian bencana letusan Merapi meningkat lebih 200 orang dan ia terus meningkat apabila pasukan pencari dan penyelamat menemui mayat-mayat penduduk yang dilaporkan hilang dalam kejadian letusan paling dahsyat pada 5 Nov lalu.

Kecuali pada hari itu apabila Merapi meletus paling dahsyat dan di luar dugaan yang menyebabkan sebilangan penduduk mati kerana tidak sempat menyelamatkan diri, kebanyakan kes kematian dalam bencana kali ini ialah penduduk pulang untuk memberi makan lembu mereka dan sekaligus mengambil susu.

Pemeliharaan lembu, kebanyakannya jenis tenusu, merupakan budaya hidup masyarakat di lereng Merapi sejak sekian lama. Pada masa ini terdapat puluhan ribu lembu di lereng gunung berapi berusia 400,000 tahun itu.

Tinjauan Bernama di lereng gunung itu sebelum Merapi meletus mendapati pemandangan biasa di situ ialah kebanyakan penduduk berjalan kaki membawa sabit yang tajam bagi memotong rumput di kawasan yang menghampiri puncak Merapi dan rumput itu menjadi makanan penting lembu mereka.

Tinjauan terkini pula mendapati banyak motosikal sarat dengan muatan rumput, kadang-kadang melebihi ketinggian kepala penunggang motosikal itu, diangkut mendaki gunung itu.

"Kami terpaksa membeli rumput dari bawah untuk memberi makan lembu kami kerana rumput-rumput di sini sudah dimusnahkan awan panas abu volkanik Merapi yang meletus beberapa kali sebelum ini," kata Maria Seger Rahayu.

Maria, pengusaha butik di pekan kecil Surowono, Klaten, merupakan antara keluarga yang enggan berpindah kerana mahu menjaga perniagaannya selain menjaga lembu peliharaan keluarganya.

"Boleh dikatakan setiap rumah memelihara lembu, kami ada lima ekor, ada keluarga yang mempunyai lapan ekor dan lebih," katanya.

Persoalannya ialah jika ini penyebabnya banyak kematian, kenapa lembu-lembu itu tidak dipindahkan ke kawasan selamat bersama penduduk agar mereka tidak perlu kembali ke rumah masing-masing bagi menjaga lembu-lembu itu.

"Lembu-lembu ini jumlahnya puluhan ribu, di Boyolali sahaja ada 50,000 ekor. Sebagai jalan keluar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengusulkan agar kerajaan membeli semua sapi ini, namun ia bukan semudah itu kerana faktor hubungan istimewa penduduk dengan lembu-lembu peliharaan mereka itu," katanya.

Operasi pemindahan penduduk merupakan satu lagi cabaran BNPB kerana ada penduduk yang akan bersembunyi ketika anggota pasukan penyelamat berkunjung ke rumah mereka untuk dipindah dan diselamatkan.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak pernah berputus asa dalam usahanya dan antara tindakan yang dilakukan ialah menggunakan anggota tentera bagi melakukan pemindahan paksa iaitu dengan menangkap mereka yang enggan berpindah walaupun terpaksa berdepan dengan sebahagian penduduk yang menjerit dan meronta-ronta dalam proses pemindahan itu.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa dalam keadaan kecemasan pula, anggota pasukan penyelamat bukan lagi mengetuk pintu rumah mengejutkan penduduk, malah mereka terpaksa memecahkan pintu dan terus mengangkat penduduk yang sedang nyenyak tidur dalam kes Merapi meletus di waktu dinihari.

Sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas, jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan bertambah daripada belasan ribu orang kepada 500,000 orang sekarang. Radius jarak keselamatan pula telah diperluaskan dari 10km di luar puncak Merapi itu kepada 20km sekarang.

"Menguruskan 500,000 orang ini yang dengan pelbagai ragam manusia bukan suatu perkara yang mudah. Kami terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan harian yang asas selain memberi makan mereka tiga kali sehari.

"Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, kumpulan-kumpulan penduduk juga sering berpindah dari satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan lain apabila tertarik dengan menu makanan di tempat itu.

"Masing-masing ada telefon bimbit, mereka akan bertanya rakan-rakan di pusat pemindahan lain apa menunya di sana? Jika sesuai dengan selera mereka, mereka berpindah pula ke situ," kata Dr Syamsul.