Islam adalah agama syumul yang prinsip dan hukumnya merangkumi dari
segala aspek yang melibatkan kehidupan manusia dan jin, dan tidak
terkecuali dengan halnya perubatan.
Apabila menyebut perubatan
dalam Islam atau Perubatan dari perspektif Islam, kita merujuk kepada
istilah atau makna Islam itu sendiri yang bermaksud sejahtera atau
selamat. Selamat dan sejahtera ini
merujuk kepada zahir dan batin, jasmani dan rohani, fizikal dan mental,
kesemua aspek ini memainkan peranan penting dalam ibadat seorang hamba
kepada Penciptanya.
Di dalam perubatan, sudah semestinya adanya
yang disebut sebagai penyakit yang perlu diikhtiarkan untuk sembuh,
adanya Doktor dan adanya pesakit.
Tetapi apabila menurut
perspektif Islam, ianya mengaitkan ALLAH sebagai Penyembuh yang Mutlak,
RasulULLAHi SallALLAHu ALaihi Wasallam sebagai sebaik-baik doktor, dan
Zikir (ingat kepada ALLAH) sebagai seindah-indah ubat seperti mana yang
telah difirmankan ALLAH di dalam Al Baqarah ayat 152 :
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKU supaya AKU membalas kamu Dengan
kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKU dan janganlah kamu kufur (akan
nikmatKU).
Manakala, penyakit sebagai sebenar-benar peringatan atau teguran dari ALLAH.
Kerana perubatan yang menurut Islam adalah perubatan yang menekankan
bab Aqidah yang sebenar kepada ALLAH, seterusnya disusuli dengan ikhtiar
yang tiadanya unsur syirik dan engkar akan syariat ALLAH besertakan
dengan ikhtiar yang tiada mendatangkan kemudaratan kepada diri ataupun
orang lain kemudian diakhiri dengan tawakkal kepada ALLAH setelah
berusaha sebaiknya, inilah secara ringkasnya yang disebut Perubatan
dalam Islam atau Perubatan menurut perspektif Islam.
Penyakit
adalah sesuatu yang melanda umat dari sejak dahulu lagi, dan dari situ
pelbagai cara digunakan untuk ikhtiar bagi memulihkan penyakit tersebut,
sehinggalah pada zaman Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam
dan para sahabat, bidang perubatan antara bidang yang utama dalam
memperkenalkan Islam kepada mata masyarakat semasa itu, ini berikutan
dengan hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a
katanya: “Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan Sahabat RasulULLAH
SallALLAHu Alaihi Wasallam sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi
ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi
tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung
itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: Apakah ada di
antara kamu yang boleh menjampi? Kerana ketua atau penghulu kampung
kami terkena sengat. Salah seorang dari para Sahabat menjawab: Ya, ada.
Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah
al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka Sahabat
tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan
mengajukan syarat: Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SallALLAHu
Alaihi Wasallam, beliau pun pulang menemui Nabi SallALLAHu Alaihi
Wasallam dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: Ya
Rasulullah (SallALLAHu Alaihi Wasallam)! Demi ALLAH, aku hanya menjampi
dengan surah al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu, Rasulullah SallALLAHu
Alaihi Wasallam tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau, bahawa
al-Fatihah itu memang merupakan jampi. Kemudian Baginda (SallALLAHu
Alaihi Wasallam) bersabda lagi: Ambillah pemberian daripada mereka dan
pastikan Aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”
Daripada
peristiwa ini kita mengenalpasti akan peranan perubatan di dalam
menyebarkan Islam secara tidak langsung, atas kerana Al Quran menjadi
dustur atau perlembagaan kepada mana-mana institusi-institusi Jemaah
Muslimin.
Mutaakhir ini pusat-pusat rawatan Islam telah tumbuh
seperti cendawan selepas hujan, terlalu banyak dan meluas. Ini adalah
suatu fenomena yang baik, bahkan ianya sebagai satu cara menutup ruang
bagi sebarang kumpulan atau pengamal aktiviti syirik dan khurafat
daripada berleluasa.
Namun begitu, oleh kerana kepesatan ini,
masyarakat mula memandang bahawa perubatan Islam atau perubatan dalam
islam adalah usaha merawat masalah rohani semata-mata, seperti gangguan
jin, histeria, sihir dan lain-lain lagi yang seangkatan dengannya
sehingga mengecilkan aspek serta fungsi perubatan dalam Islam.
Adakah itu bermaksud bahawa perubatan Islam hanya sekadar itu sahaja?
Dan perubatan moden bukanlah dari perubatan Islam? Adakah begitu
kiraannya? Jika begitulah kiraannya, maka ternyata ianya salah. Kerana
dari Hadith yang telah diletakkan di atas menunjukkan perubatan di dalam
Islam bukan tertumpu pada sudut hal-hal ghaibiyyah semata-mata malahan
merangkumi masalah zahiriah juga.
Akibat dari fenomena ini,
makanya, masyarakat meletakkan perubatan Islam sebagai pilihan kedua
dalam berikhtiar, yang padahalnya perlembagaan atau pegangan di dalam
perubatan Islam adalah Al Quran dan Sunnah, hasil dari mutholaah
Ulama-ulama terdahulu.
Jika kita kaji akan perkembangan
perubatan Islam ini, Islam telah melahirkan ramai cendiakiawan yang
menggegar dunia khususnya dalam dunia perubatan. Al Biruni, Ar Razi, Az
Zahrawi, Ibnu Sina, Al Baythor dan ramai lagi, antara nama yang telah
menggegar dunia eropah dan Yunani dengan kemampuan mereka ini dalam
mengolah penyakit kepada kesembuhan.
Apabila zaman kemasyhuran
Islam runtuh disebabkan factor-faktor dalaman dan faktor-faktor lain,
bidang yang sepatutnya dipelopori oleh umat Islam telah dimanipulasi
oleh golongan yang ingin menjatuhkan Islam dengan menyebarkan dakyah
serta kepalsuan maklumat kepada orang Islam khususnya supaya Islam
dipandang mundur serta kolot.
Haruslah kita fahami bahawa
RasulULLAHi SallALAHu Alaihi Wasallam bukanlah seorang doktor atau tobib
yang terkemuka pada zaman Baginda (SallALLAHu ALaihi Wasallam) bahkan
pada zaman tersebut salah seorang sahabat iaitu 'Umaroh bin Hazm menjadi
Tobib yang terkenal dan menggunakan landasan-landasan dalam Islam yang
telah dibawa serta diajarkan oleh RasulULLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam
kepada beliau, jadi dengan ertikata lain, RasulULLAHi SallALLAHu Alaihi
Wasallam adalah Bapa kepada Ilmu Perubatan dalam Islam.
Dari
sini, secara jelas perlu difahami, perubatan dalam perspektif Islam
adalah bertujuan menghindari kesyirikan sebagai objektif utama, dan
ikhtiar menurut syariat Islam adalah objektif kedua, manakala
mengelakkan mudarat pada zahir dan batin adalah objektif ketiga. Andai
ketiga-tiga hal ini tidak difahami dan tidak diamalkan sebaiknya maka
perubatan tersebut tidak dipanggil sebagai perubatan menurut Islam.
Perubatan yang disarankan dalam Islam adalah menjurus kepada konsep
tawakkal iaitu penyerahan selepas usaha, berikutan dengan firman ALLAH
Azza Wajalla di dalam surah Al Baqarah ayat 153 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُ واْ اسْتَعِينُ واْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan Dengan
bersabar dan Dengan (mengerjakan) Solat; kerana Sesungguhnya ALLAH
menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar"
Gambaran yang
ALLAH ingin nyatakan pada mereka yang beriman, iaitu percaya akan
wujudnya ALLAH, paling utama adalah meletakkan wujudnya ALLAH sebagai
ROBB walau apa jua pekerjaan atau permasalahan, dan ALLAH menyeru agar
mereka berusaha dalam memohon pertolonganNYA. Hal ini jugalah yang
menjadi pegangan dalam Perubatan menurut Islam.
Kerana, jika
diperhatikan masyarakat hari ini, apabila sakit akan seboleh-bolehnya
meletakkan segunung harapan kepada perawat yang merawat mereka,
sehinggakan berlakulah perkara-perkara yang kesudahannya memburukkan
institusi-institusi perubatan Islam lain, kes rogol, penipuan dan
sebagainya.
Malahan, ada juga pihak yang mengambil kesempatan
dengan menggunakan nama Islam sebagai mempromosikan pusat mereka, yang
padahal mereka masih kekal menggunakan kaedah atau pendekatan yang
menjauhkan masyarakat dari mentauhidkan ALLAH. Maka, secara asasnya,
mereka ini telah jauh terpesong dari yang dikatakan sebagai perubatan
menurut Islam.
Secara mudah untuk difahami, Perubatan menurut
perspektif Islam, adalah suatu ikhtiar bagi masalah atau penyakit, yang
dari ikhtiar itu akan mendekatkan lagi pesakit atau perawat sendiri
kepada ALLAH Jalla Waala.
Andai ianya menjadikan seseorang itu
semakin jauh dari ALLAH, malahan mendorong seseorang itu melakukan
sesuatu perkara yang mendatangkan kemurkaan ALLAH, maka secara jelas,
ianya bukan perubatan seperti yang dikehendaki dan dituntut Islam,
malahan dicela di dalam Islam.
Untuk meraikan perubatan yang
sebenar-benar menurut Islam, setiap yang bergelar Muslim perlu terlebih
dahulu mengenal akan ALLAH, Tuhan Pentadbir sekalian Alam, akibat dari
tidak kenal akan ALLAH, maka segelintir perawat ataupun pesakit
sewenang-wenangnya mencari jalan yang selagi ada boleh menyembuhkan
penyakitnya tanpa mengambil kira sudut aqidah terlebih dahulu.
Kerana, penyakit itu datang dari Kudrat dan Iradat ALLAH, kesembuhan jua
dari Kudrat dan Iradat ALLAH. Sebenar-benar sakit adalah apabila di
azab di neraka ALLAH kelak kerana mencari jalan mudah untuk sembuh di
dunia tanpa mengendahkan larangan ALLAH dan sebenar-benar sembuh itu
adalah apabila merasai nikmat di dalam syurga ALLAH kerana bersabar dan
berusaha untuk sembuh di dunia serta redha dengan ketentuan dari ALLAH
setelah berusaha, dan apatah lagi boleh bersama Sayyiduna RasulILLAHi
SallALLAHu Alaihi Wasallam dan para sahabat RidwanULLAH Alahim Ajmain
serta para kekasih ALLAH yang lain, dan teramatlah sembuh apabila dapat
melihat Zat ALLAH Azza Wajalla di dalam syurgaNYA kelak.
Mereka
yang inginkan rahmat dan redha ALLAH dalam setiap perbuatan serta amal
dunia jua akhirat, perlulah menyertakan ALLAH bersama perbuatan serta
amal mereka. (Al Quran)
Mereka yang dambakan syafaat dan ziamah
RasulULLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam di dunia jua akhirat, perlulah
membawa Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam pada setiap
keadaan dan ketika. (Sunnah)
Paling utama, ilmu perubatan antara ilmu yang perlu dituntut, dan ianya tidak boleh dipandang ringan.
Coretan Al Faqir IlALLAH Wan Asrul Al Aydrus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan