Rabu, 11 Ogos 2010

ROH AL QUDS

siri ke 3


ABU JA’FAR AL-‘URYANI DARI LOULE

Syeikh ini datang ke Seville apabila aku baru bermula memperolehi ilmu-ilmu jalan salik. Aku salah seorang di antara yang awal menemui beliau. Pertama kali aku menemui beliau, aku dapati beliau seorang yang kekal dalam zikir. Beliau terus mengetahuinya, segera menemui ku, keperluan rohaniahlah yang membawa aku menemui beliau.

Beliau bertanya kepadaku, “Adakah kamu bertekad untuk mengikuti jalan Allah?” Aku menjawab, “Hamba boleh bertekad tetapi Allah yang menentukan hal keadaannya” Beliau kemudiannya berkata, “Jika kamu kuncikan dunia daripada dirimu, reda dengan segala ujian dan mengambil hanya Dia Yang Pemurah sebagai temanmu, Dia akan berkata-kata denganmu tanpa perantaraan. Aku dengan itu bertawakkal melaksanakannya sehinggalah aku berjaya (dengan izinNya).

Sekali pun beliau seorang yang buta huruf tidak boleh menulis atau merajah, seseorang itu hanya perlu mendengar bukaan beliau mengenai tawhid untuk mengagumi pendirian rohaniah beliau. Himmah beliau mampu mengawal pemikiran seseorang, dan dengan perkataannya beliau dapat menyelesaikan masalah-masalah tawhid wujudiah. Beliau selalu berada dalam keadaan suci dari hadas, wajahnya menghadap ke qiblah dan berterusan menyebut nama Allah.

Suatu ketika beliau pernah ditawan bersama-sama yang lain oleh orang kristian. Beliau mengetahuinya sebelum kejadian tersebut berlaku dan memberitahu sahabat-sahabat musafirnya yang mereka semua akan ditawan pada hari berikutnya. Keesokan pagi seperti yang dinyatakan oleh beliau, musuh menyerbu mereka dan menawan kesemua yang ada. Bagaimanapun kepada beliau, mereka menunjukkan rasa hormat dan menyediakan tempat tinggal yang selesa dan khadam buat beliau. Selepas beberapa ketika beliau mengaturkan penebusan dirinya dengan bayaran lima ratus dinar dan musafir ke tempat kami (Seville).

Apabila Syeikh tiba, dicadangkan kepada beliau supaya derma dikumpulkan untuknya daripada dua atau tiga orang. Berkenaan hal ini beliau menjawab, “Tidak, aku hanya inginkan daripada seberapa ramai orang yang boleh; sesungguhnya, jika mungkin aku inginkan dari semua orang dalam jumlah yang sedikit, kerana Allah memberitahuku dalam diri setiap jiwa yang memberatkan timbangan di hari akhirat ada sesuatu yang dapat menyelamatkan dari api neraka. Dengan cara ini aku akan mengambil kebaikan dari setiap manusia buat pengertian Muhammad s.a.w.

Diberitahukan juga, semasa beliau masih di Seville seseorang datang dan memaklumkan kepada beliau bahawa mereka yang tinggal dalam kota di Kutamah sangat berhajat kepada hujan, berharap agar beliau pergi ke sana dan melakukan solat istisqa’ buat mereka, supaya Allah menurunkan hujan. Sekalipun antara kami dan kota tersebut dipisahkan oleh lautan dan memerlukan lapan hari perjalanan darat, beliau pergi bersama muridnya bernama Muhammad. Sebelum mereka pergi seseorang mencadangkan adalah memadai bagi beliau untuk solat buat mereka tanpa melakukan perjalanan ke kota. Syeikh menjawab bahawa Allah mengarahkan beliau untuk bertemu dengan mereka secara peribadi.

Apabila mereka tiba di kota, mereka dapati diri mereka dihalang daripada memasuki kota. Sebaliknya tanpa diketahui oleh orang kota, beliau solat istisqa’ untuk orang di dalam kota dan Allah menurunkan hujan dalam jangkamasa satu jam. Sekembalinya, beliau menemui kami. Murid beliau menceritakan kepada kami, tatkala Allah menurunkan hujan, ianya turun disekeliling mereka tetapi tiada setitik pun yang menyentuh mereka. Apabila muridnya menyatakan kekagumannya kepada syeikh dengan kata-kata bahawa rahmat Allah (hujan) tidak turun kepada syeikh juga, Beliau menjawab ianya sudah tentu akan berlaku sekiranya beliau ingat (untuk memasukkan mereka) dalam doa ketika di kota.

Suatu hari ketika aku duduk-duduk bersama beliau, seorang lelaki datang membawa anaknya kepada syeikh. Dia memberi salam dan menyuruh anak lelakinya melakukan perkara yang sama. Ketika ini syeikh sudahpun kehilangan peglihatannya, lelaki tersebut memaklumkan bahawa anaknya telah pun menghafaz seluruh al-Quran. Sebaik mendengar perkataan tersebut keadaan diri syeikh terus berubah kerana hal kerohanian telah menguasai beliau. Kemudian beliau berkata kepada lelaki tadi, “Yang Abadilah yang mengekalkan yang fana. Justeru al-Quran lah yang menyokong dan mengekalkan kita dan anakmu.” Keadaan ini merupakan suatu contoh maqam musyahadah beliau.

Suatu ketika aku tertanya-tanya akan hal keadaannya ketika awal-awal kehidupan rohaniahnya. Beliau memberitahuku bekalan makanan untuk keluarganya bagi setahun hanyalah lapan guni gandum, dan ketika beliau beruzlah isterinya akan menjerit padanya dan menuduh beliau tidak melakukan sesuatu untuk sara hidup keluarga. Ketika ini beliau menjadi keliru dan akan berdoa, “Ya Rabbi, hal ini telah mencampuri urusan antara Engkau dan aku, kerana isteriku telah menuduh ku, oleh itu jika Engkau berkehendak supaya aku meneruskan ibadah, ringankan aku dari perhatian isteriku. Jika sebaliknya khabarkan kepadaku.” Suatu hari Allah memanggilnya (secara rohani), “ Wahai Ahmad, teruskan ibadahmu dan istirehatlah dengan yakin bahawa sebelum berakhirnya hari ini Aku akan bawakan untukmu dua puluh guni gandum, mencukupi untukmu bagi dua setengah tahun. Beliau meneruskan penceritaan, bahawa belumpun sejam berlalu seorang lelaki memberikan salam, bersamanya pemberian seguni gandum. Ketika perkara ini berlaku Allah mengkhabarkan kepada beliau bahawa ini merupakan guni yang pertama daripada dua puluh guni. Dengan cara sebegini dua puluh guni disampaikan kepada beliau sebelum matahari terbenam. Hal ini menjadikan isterinya bersyukur dan nafkah keluarganya dipenuhi.

Syeikh ini kerap bertafakur dan dalam maqam kerohaniannya beliau mengalami kegembiraan yang amat dan pengharapan. Ketika ziarah ku yang terakhir, semoga Allah merahmati roh beliau, aku bersama beberapa orang sahabatku. Kami memasuki rumah beliau dan mendapati beliau sedang duduk dan kami memberi salam kepada beliau. Salah seorang di antara kami berkeinginan untuk menanyakan beliau suatu soalan, tetapi sebaik sahaja kami masuk, beliau mengangkat kepalanya dan berkata kepada kami, “ Mari kita teliti tentang suatu perkara yang aku telah nyatakan padamu, wahai Abu Bakr (merujuk kepada diriku), kerana aku selalu memikirkan maksud perkataan Abu al-Abbas b. al-‘Arif (pengarang kitab Mahasin al-Majalis) “ Yang tidak akan mati, sementara Dia yang kekal sentiasa hidup,” Kita semua tahu yang tidak akan mati dan Dia yang kekal sentiasa hidup, jadi apa yang beliau (Abu al-Abbas b. al-‘Arif) maksudkan dengan perkataan ini? Tiada seorang pun yang bersedia menjawab soalan tersebut jadi beliau menanyakan soalan tersebut kepadaku. Bagi ku, sekalipun aku sangat bersedia untuk menjawab soalan tersebut, aku tidak melakukannya, aku menjadi sukar untuk berkata-kata. Syeikh mengetahui keadaan ku dan beliau tidak mengulangi soalan tersebut.

Apabila beliau berbaring untuk tidur, beliau tidak menanggalkan pakaiannya dan apabila beliau menghadapi bukaan rohaniah beliau tidak merasa terganggu; tetapi apabila beliau mendengar bacaan al-Quran beliau menjadi segar dan sangat bersemangat. Suatu hari aku bersolat bersama beliau di rumahnya bersama sahabat ku Abu ‘Abdallah Muhammad al-Khayyat dan adiknya Abu al-‘Abbas Ahmad al-Hariri, apabila imam membaca surah An-Naba’ dan sampai pada (ayat 6) ‘Bukankah Kami, yang menjadikan bumi (sebagai) hamparan (tempat mereka) dan gunung-gunung sabagai tiang-tiangnya (pasak / Autad)….aku terpisah (secara rohaniah) dari imam dan bacaannya dan melihat secara rohaniah Syeikh Abu Ja’far berkata kepada ku, “ Hamparan adalah bumi dan pasaknya adalah orang beriman; hamparan adalah orang beriman dan pasaknya adalah ‘arifbillah; ‘arifbillah adalah hamparan dan nabi-nabi adalah pasaknya; nabi-nabi adalah hamparan dan rasul-rasul adalah pasaknya; rasul-rasul adalah hamparan dan selepas itu apa? Beliau juga menuturkan beberapa kebenaran rohaniah, sehinggalah perhatianku kembali kepada bacaan imam,….dan ia berkata benar (ayat 38). Itulah hari yang sebenarnya (ayat 39). Selesai solat aku bertanya Syaikh pengalaman yang aku lalui dan mendapati pendapat beliau tentang surah An-Naba’ serupa dengan yang aku dengari dalam ru’yaku (penglihatan)

Suatu hari seorang lelaki menyerbu kepada beliau dengan pisau di tangan untuk membunuhnya, dalam keadaan tenang Syeikh menawarkan lehernya kepada lelaki tersebut. Seorang sahabat Syeikh cuba meleraikan, tetapi Syeikh menyuruh agar meninggalkannya sendirian dan biarkan sahaja apa yang ingin dilakukan oleh lelaki tadi. Sebaik sahaja pisau digerakkan untuk memotong leher Syeikh, Allah jadikan pisau bengkok lalu menakutkan lelaki tadi dan dengan segera pisau dilemparkan ke tanah. Lelaki tersebut jatuh tersungkur di kaki Syeikh dengan penuh penyesalan.

Jika tidaklah kerana terhadnya ruang, aku akan kisahkan lebih banyak tentang Syeikh ini, tentang keramatnya dan perbincangan kerohanian yang kami lalui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan