Isnin, 9 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN


Assalamualaikum dengan iringan salam bahagia buat semua pengunjung blog ini.

AlhamduLILLAH bersyukur dengan seluruh limpah rahmat dan kasih sayangNYA bersama keberkatan syafaat Rasulullah SAW diizinkanNYA dapat menghasilkan posting terkini .

ALLAhumma Solli Ala Muhammad.

Ramadhan menjelang lagi. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk menghirup keberkatan bulan Ramadhan, merangkak mencari kelebihan di malamnya lalu tersungkur lena dalam cita-cita menggapai lailatul Qadar.

Sahabat semua,

Kita (akan) memasuki bulan Ramadhan Al-Mubarak . Inilah bulan yang dirindui oleh ahli ibadah, dan tidaklah orang-orang yang cinta kepada Allah melainkan kasih akan bulan Ramadhan ini. Dan ahli-ahli ibadah, ahli-ahli zikrullah, mereka ini menunggu bulan Ramadhan ini dengan penuh kecintaan dan kasih sayang, dengan penuh keasyikan. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh kerinduan, kerana inilah bulan di mana diberi keberkatan dan kenikmatan yang tidak terhingga dan inilah bulan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada umat Muhammad SAW.

Ramadhan adalah bulan yang diberi kita kenikmatan pahala yang berlipatkali ganda, di mana (maksud) pahala bagi ahli-ahli makrifatullah ialah cahaya-cahaya makrifat begitu mudah untuk ditembusi pada bulan ini. Ia bulan yang mudah untuk dibuka hijab oleh Allah SWT.

Isikan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya, jadikan bulan ini sebagai masa untuk beruzlah secara bersungguh-sungguh dengan mentawajjuhkan (penumpuan) kepada Allah SWT. Nabi SAW menghidupkan uzlah, khalwat sebanyak 20 hari setahun, 10 hari di bulan-bulan biasa dan 10 hari di bulan Ramadhan. Mengapa 10 hari di bulan Ramadhan? Kerana Ramadhan adalah bulan kasih sayang Allah, bulan penuh kelebihan dan keberkatan.

Jangan kita beribadah pada bulan Ramadhan sama dengan bulan-bulan yang lain. Cahayakan betul-betul hati kita dengan banyak mentawajjuhkan hati. Isikan di malam-malam hari, selain ibadah tahajud, dengan banyakkan istighfar dan selawat kepada Nabi SAW. Istighfar sebagai pembersih hati dan selawat pula sebagai pembuka hijab hati kita. Bila kita berselawat kepada Nabi, ia membuka hijab. Jangan berselawat dalam keadaan tidak hadir perasaan cinta kepada Baginda. Selawat biar dilebihkan dari kebiasaan kerana ia mengandungi rahsia yang besar dalam perjalanan menuju makrifatullah. Dan tidaklah orang-orang yang menuju kepada jalan Allah ini, melainkan dengan selawatlah kebanyakan mereka sampai kepada-Nya. Nabi Musa juga mendapat keampunan Allah dan ditambah ilmu dengan banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Bersama kita semua memanfaatkan sepenuhnya kedatangan Ramadhan Al Mubarak.

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan