siri ke 5
SALIH al-‘ADAWI ORANG BARBAR
Beliau seorang ‘arifbillah, kekal bersama Allah dalam setiap perbuatannya dan mengabdikan diri dengan berterusan membaca al-Quran siang dan malam. Beliau tidak memiliki rumah dan tidak memperdulikan kesihatannya, cuba untuk mencapai darjat tujuh puluh ribu yang memasuki syurga tanpa hisab.
Ada ketikanya beliau diberitahu bahawa matahari telah pun beralih arah sedangkan beliau masih lagi dalam rakaat pertama solat. Apabila beliau bersiap untuk solat pada ketika cuaca sangat sejuk beliau akan menanggalkan pakaian luarnya, memakai hanya selapis baju dan seluar; di sebalik keadaan ini beliau akan berpeluh ketika solat seolah-olah beliau berada dalam bilik yang sempit.
Syeikh tidak menyimpan suatu apapun untuk hari esok dan tidak menerima sesuatu melebihi keperluannya, sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain. Waktu malam beliau selalu berada di masjid Abu ‘Amir al-Rutanduli. Aku bergaul dengan beliau untuk beberapa tahun yang mana dalam jangkamasa tersebut syeikh hanya menyampaikan beberapa patah perkataan sahaja sehinggakan aku mampu untuk membilangnya.
Pada suatu tahun, beliau tiada di Seville ketika I’dil Adha. Seorang fuqaha’ yang boleh dipercayai memberitahu ku bahawa syeikh menghadiri perhimpunan di padang Arafat dan diberitakan kepada beliau oleh orang yang melihat syeikh di sana.
Beliau mengekalkan hubungan istimewa dengan kami dan kerap kali mengkhususkan tafakkurnya kepada kami yang dengannya kami memperolehi manfaat rohaniah yang besar. Berkenaan diriku beliau memberitahu banyak perkara yang kemudiannya terbukti benar kesemuanya.
Ketika sakitnya beliau diziarahi oleh Abu ‘Ali al-Shakkaz. Beliau menetap di Seville selama empat puluh tahun sehinggalah wafat.Kami yang memandikan jenazah beliau dan membawa ke kuburan waktu malam, dan kami tinggalkan untuk disembahyangkan oleh orang ramai yang kemudiannya mengkebumikan beliau. Sehingga kini aku tidak pernah melihat yang seumpama beliau. Keadaan hidupnya sepertimana ‘Uwais (al-Qarni)
Suatu hari aku datang berjumpa beliau ketika beliau sedang mengambil wuduk. Ketika berwuduk wajahnya akan berubah kepada malu dan takut. Apabila ditanya tentang hal tersebut beliau menjawab, “Bagaimana lagi seseorang itu harus berkeadaan ketika menyiapkan dirinya yang penuh dengan dosa untuk berbual-bual dengan Rabnya? Syeikh berwuduk dengan cermat, membasuh setiap anggota wuduk tiga kali, dan setiap kali menyebut nama Allah selayaknya.
Apabila selesai berwuduk beliau mendongak dan nampak aku berdiri di suatu tempat. Beliau ketika itu duduk di sebuah bangku untuk mengesat dirinya, beliau memanggil aku supaya hampir kepadanya. Waktu itu aku baru sahaja mula mengikuti jalan salik dan menerima beberapa bukaan rohaniah yang tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa pun.
Syeikh berkata kepada ku, “Anakku, apabila kamu merasai madu, jangan lagi sesekali merasai cuka. Allah telah bukakan jalan buatmu, tetaplah atasnya. Berapa orang kakak yang kamu ada? Aku memberitahu beliau yang aku mempunyai dua orang kakak. Beliau bertanya adakah kedua-duanya belum berkahwin yang mana aku menjawab belum, tetapi yang sulung telah ditunangkan dengan Amir Abu al-‘Ala b. Ghazun. Kemudian beliau berkata kepadaku, “Anakku ketahuilah pernikahan itu tidak akan berlaku, kerana kedua-duanya ayahmu dan lelaki yang kamu cakapkan itu akan lebih dahulu meninggal dunia dan kamu dipertanggungjawabkan untuk menjaga ibu dan kakak-kakakmu. Keluarga mu akan cuba memujuk supaya kamu kembali kepada jalan duniawi dan menjaga ibu dan kakakmu. Jangan lakukan apa yang mereka minta tidak jua menghiraukan perkataan mereka sebaliknya ucapkan firman Allah “Dan perintahkanlah kepada keluarga engkau agar mendirikan solat dan bersabarlah engkau atasnya. Kami (Allah) tidak meminta rezeki kepada engkau, bahkan Kami (Allah) yang memberi rezeki kepada engkau. Dan akibat (yang baik) itu bagi orang yang bertakwa” (Q 20:132)
Jangan lakukan lebih dari itu, kerana Allah telah menyediakan jalan pelepasan untukmu. Jika kamu ikuti cakap mereka kamu akan dapati dirimu ternafi di dunia dan di akhirat dan dibiarkan memilih jalanmu sendiri.
Sebelum berakhir tahun yang sama Amir tadi meninggal dunia dan kemudiannya ayahku, perkahwinannya dengan kakakku tidak dapat dilangsungkan. Enam tahun kemudian ibuku meninggal, syeikh juga meninggal. Semua ini menyebabkan keluargaku datang kepadaku dan menyalahkan aku kerana gagal menyara hidup keluargaku.
Bagaimanapun Amirul Mu’minin berhajat agar aku menyertai pentadbiran Negara. Amirul Mu’minin mengutuskan menteri Ya’qub Abu al-Qasim b. Taqi. Dia memberitahu qadi agar berjumpa dengan ku bersendirian dan tidak memaksa aku jika aku menolak cadangannya. Apabila beliau tiba dan menyatakan cadangan tersebut kepadaku, daku menolak, perkataan syeikh terngiang-ngiang ditelingaku. Kemudian aku bertemu dengan Amirul Mu’minin dan dia bertanya tentang dua orang kakakku yang memerlukan perlindungan. Aku menjelaskan kedudukan mereka. Dia kemudiannya menawarkan diri untuk mencarikan suami yang sesuai buat mereka, yang mana aku menjawab bahawa aku sendiri yang akan meyudahkan hal tersebut. Mendengar ini Amirul Mu’minin menganggap aku bersikap gopoh dan berkata dia juga mempunyai tanggungjawab keatas mereka. Amirul Mu’mini kemudiannya memenggil penjaga pintu dan mengupahnya untuk memaklumkan kepadanya samada siang atau malam, jawapan daripadaku atas tawaran tersebut.
Tidak lama selepas aku selesai menemui Amirul Mu’minin, dia sekali lagi menghantar seorang pesuruh kepadaku untuk mengulangi tawarannya berkenaan hal keadaan dua orang kakakku. Aku berterima kasih kepada pesuruh tersebut, tetapi segera berhijrah bersama keluarga dan sepupuku ke Fez. Selepas beberapa hari Khalifah bertanya Abu al-Qasim b. Nadir akan halku. Dia memberitahu khalifah yang aku dan keluargaku telahpun berhijrah ke Fez. Mendengar ini Khalifah berulangkali menyebut SubhanAllah. Apabila kami telah menetap di Fez aku kahwinkan dua orang kakakku dan dengan itu lepas dari tanggungjawab keatas mereka. Semenjak itu berkat kerohanian syeikh kembali kepadaku dan aku pun pergi ke Mekah. Inilah salah satu berkat kerohanian syeikh. Aku bersahabat dengan beliau selama hampir tiga belas tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan