Khamis, 8 Julai 2010

ROH AL QUDS

‘ABDALLAH IBN JA’DUN Al-HINNAWI B. MUHAMMAD B. ZAKARIYA

Beliau meninggal di Fez pada tahun 597 Hijrah. Aku yang membawa beliau dalam kembara dengan ku, bersama-sama sahabatku al-Habashi. Syeikh ini merupakan salah seorang diantara empat Awtad. Beliau telah memohon kepada Allah agar keadaan dirinya ditutup daripada diketahui umum. Apabila beliau tiada , ketiadaannya tidak menjadi suatu kekurangan, dan apabila beliau hadir, tiada seorang pun yang meminta pendapatnya; apabila beliau tiba disatu- satu tempat ketibaannya tidak dialu-alukan, dan dalam perbincangan beliau tidak diendahkan.

Aku tidak berapa ingat tujuan pertemuanku denganya. Ini kerana apabila aku tiba di bandar Fez, beberapa orang yang pernah mendengar mengenai diriku berhajat untuk bertemu denganku. Aku dengan itu mengelak dengan cara keluar dari rumah tempat penginapanku dan dan beriktikaf di masjid. Mereka ini telah pergi kerumah penginapanku dan apabila mendapati aku tiada disana mereka pun mencariku di masjid. Mereka melihatku dan datang kepada ku lalu bertanya mengenai Ibn ‘Arabi, jadi aku katakan kepada mereka carilah lagi sehingga kamu semua bertemu dan mengenalinya.

Dalam masa aku beriktikaf di masjid, dengan memakai pakaian orang awam, syeikh tadi tiba-tiba muncul kepada ku. Aku tidak pernah melihat beliau sebelum ini. Beliau memberi salam kepada ku dan aku menjawab salam tersebut. Beliau kemudiannya membuka kitab al-Muhasibi iaitu Sharh al-Ma’rifah, membaca beberapa perkataan daripadanya dan meminta aku memberikan komentar, yang mana aku penuhi permintaan tersebut. Melalui ilham Ilahiyyah aku diberitahu siapakah beliau, apakah maqam kerohaniannya, dan beliau merupakan salah seorang daripada empat Awtad dan anaknya akan mewarisi kedudukan beliau. Akhirnya aku berkata kepada beliau, ‘Tuan, jika tuan tidak hentikan semua ini aku akan bukakan kedudukan tuan kepada umum, bahawa tuan merupakan salah seorang daripada yang empat’. Beliau terus menutup kitab, bangun dan berkata ‘Rahsiakan hal ini, kerana aku menyukai diri mu dan ingin untuk mengenali diri mu dengan lebih lanjut. Hal mu akan aku diamkan’. Beliau lalu meninggalkan ku. Selepas itu aku hanya duduk bersamanya apabila tiada orang lain beserta kami.

Beliau menderita gagap dan bercakap dengan penuh kepayahan, tetapi apabila membaca al-Quran bacaan beliau sangat lancar. Beliau mencari nafkah sebagai pembuat inai serbuk. Apabila bercakap beliau nampak bodoh, apabila beliau duduk yang lain akan bangun dan meninggalkannya, apabila beliau hadir dalam satu perkumpulan yang lain akan merasakan kehadirannya menyusahkan. Keadaan ini bagaimanapun disukai oleh beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan